Doa Untuk Gaza.
Bulan sudah mula kelihatan. Dalam keadaan
seperti ini pun, masih ada yang tidak berubah. Bulan tetap ada di situ apabila
malam menjelma. Bulan yang ada satu sahaja. Dalam dunia ini, semua mata manusia
pandang ke arah bulan yang satu itu. Bukankah kita di duduk bawah langit yang
sama. Senyum.
Aku melangkah ke katil yang hanya dihiasi
tilam bercadar lusuh. Aku senyum kerana masih diberikan peluang untuk menghirup
oksigen percuma hingga ke hari ini. Senyuman aku melebar. Entah macam mana lena
aku yang malam ini pula. Entahkan berpeluang mengirup oksigen esok hari ataupun
tidak.
Cantiknya taman itu. Macam
taman-taman sorga. Ada sungai yang mengalir di mana airnya berwarna susu. Macam
bayangan syurga yang pernah Allah nyatakan dalam Surah Ar-Ra’d ayat yang ketiga
puluh lima itu. Walaupun belum pernah aku ke sorga. Tapi, ahh. Mungkin ini
mimpi aku sahaja. Mimpi yang terindah.
Aku tersentak dari lena di mana aku
memimpikan taman sorga. Tersentak disebabkan bunyi yang tak lagi asing di
pendengaranku. Adrenalin tidak lagi mengalir laju seperti sewaktu kali pertama
aku dengar bunyi ini. Pertama kali yang entah bila. Kalau tak salah, waktu aku
baru belajar bertatih rasanya.
Aku dengar bunyi roket melintasi udara atas
aku. Pastinya roket rejim itu, yang belum puas menumpahkan bergelen-gelen darah
rakyat bumi Palestine. Mana mungkin pihak kami punya roket pembunuh secanggih
itu. Dari mana Israel mendapatkan wang untuk mempunyai senjata secanggih itu,
aku tidak mahu tahu.
Tapi aku Islam. Dan sebagai Muslim, kami
ada senjata yang paling canggih. Senjata yang tidak mungkin mampu dibeli oleh
Israel meskipun tidak ada seorang manusia di dunia ini yang memboikot Mekdi.
Eh?
Apa senjata kami? Doa. Doa yang coveragenya
meluas di serata dunia dan pada setiap masa. Yang memperkenan doa, hanya Dia
yang ada di atas sana. Pandang langit.
Roket mungkin ada di atas kami. Tapi
mungkin mereka lupa, Allah ada di atas mereka.